Khamis, 2 Januari 2014

Gula oh gula 2

Sambungan kepada entri sebelum ini. smilies/icon_3nodding.gif

Gula oh gula


*Kemas kini blog yang berhabuk ini*

Sudah lama juga saya abaikan blog ini. Jadi saya hdupkan balik dengan kerja tak semenggah ini.
Rasa macam lambat tapi... Bolehlah kan? smilies/icon_sweatdrop.gif

*klik gambar untuk pembesaran.* smilies/icon_3nodding.gif

Sabtu, 2 Februari 2013

Fanart kepada Fanfic

Fanfic. Ya, benda fiksyen yang menjadi semakin fiksyen kerana 'dikerjakan' para peminat bahan fiksyen terbabit.

Namun, ada ke yang membuat fanart daripada sebuah fanfic yang berasaskan sebuah online game? Memang sah tak ada kerja, bukan?

Dah lama tak main online games... Sudah lebih 6 bulan dah. Malas punya pasal. Huhu.  smilies/icon_sweatdrop.gif

Medium: Pen lukisan Unipin 3.0 atas kertas, diwarnakan dengan Photoshop 3.0

P.S: Mungkin saya patut sediakan tutorial mewarna dengan Photoshop pula... smilies/icon_neutral.gif

Sabtu, 27 Oktober 2012

Tiada motif

Ceh. Lama sungguh saya abaikan blog ini.  smilies/icon_neutral.gif
Sejak Lappy buat hal. Rasanya.

Jadi, nah. Lukisan pertama yang dikerjakan menggunakan Adobe Photoshop - perisian pengeditan foto di komputer rumah. smilies/icon_sweatdrop.gif

Khamis, 1 Disember 2011

Novellet: Saya Tahu Apa Kamu Buat Pada Semester Lalu (Bab 2)

Semalam bab 1. Jadi hari ini sambung bab 2 pulalah ya? smilies/icon_whee.gif
Lupa mahu beritahu, sebenarnya saya sedang cabar diri sendiri untuk mengarang sebuah kisah yang mempunyai paling kurang 50,000 patah perkataan, dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. smilies/icon_3nodding.gif
Agak-agak bolehkah saya lakukannya? smilies/icon_confused.gif

[...]

BAB 2

   Malam itu agak sepi jika dibandingkan dengan malam-malam sebelumnya. Tiada bunyi unggas bersahut-sahutan seperti biasa. Suasana di bukit di mana menara cerap kolej yang sudah terbiar itu berada mampu menimbulkan rasa seram kepada sesiapa sahaja yang melaluinya.

   Satu lembaga berjalan terhendap-hendap ke arah menara cerap itu. Dia seolah-olah tidak mahu penghuni alam menyedari kehadirannya di situ. Pandangan lembaga itu terarah ke balai di bawah menara tersebut, ada cahaya yang malap muncul dari tingkap. Kelihatan juga bayang susuk seorang lelaki berjubah dan berhud bergerak-gerak, mundar-mandir di dalam menara tersebut.

   Seketika kemudian lelaki itu keluar dari menara cerap. Lembaga itu menunggu beberapa minit untuk memastikan keadaan selamat, sebelum terus berlari masuk ke dalam menara tersebut.

[...]

   "Tengok. Sudah pukul berapa ini?" kata Fizi sambil melihat ke arah jam tangannya. "Lagi sepuluh minit dan kita tidak dibenarkan masuk ke asrama."

   "Jangan risaulah, Fizi. Aku berani jamin yang kita akan sampai tepat 12 malam," kata Khai yang sedang memandu kereta Myvinya.

   " Kenapa yakin sangat? Kita baru sampai di belakang kampus. Dari sini ke hostel ambil masa 15 minit," soal Fizi kembali, risau.

   "Apa mahu dirisaukan. Kita ikutlah jalan pintas depan menara cerap itu. Ambil masa 5 minit sahaja kalau ikut laluan itu. Kamu pun tahu, bukan?" balas Khai dengan nada selamba. Fizi mengeluh perlahan.

   "Ikut jalan pintas? Saya beritahu Alyalah ya. Takut nanti mereka ikut jalan biasa pula," kata Aizu, mula mendail nombor telefon bimbit Alya yang memandu kereta kancil di belakang kereta mereka.

   Kereta yang dipandu Khai terus masuk ke sebuah jalan kecil di hujung kolej, diikuti perlahan oleh kereta Alya. Jalan itu terus membawa mereka ke melalui kawasan menara cerap yang dipenuhi belukar, melalui tasik di kaki bukit tersebut sebelum berakhir di pintu pagar belakang Kediaman Bersatu Jaya.

[...]

   Lembaga itu memandang ke seluruh ruang dalam balai tersebut. Ada sebuah meja  besar yang dipenuhi pelbagai radas makmal, kelalang mengandungi cecair beraneka warna dan beberapa tabung uji yang ditutupi gabus tersusun di raknya. Ada juga beberapa helai kertas dan komputer riba yang masih terpasang. Bekalan elektrik di menara itu nampaknya masih tidak terjejas.

   Dia berjalan ke arah kertas-kertas di atas meja itu sebelum meneliti satu persatu. Wajahnya kelihatan risau selepas membaca apa yang tertulis di atas kertas-kertas tersebut. Dia kemudiannya pergi ke arah rak tabung uji apabila mendengar bunyi dengusan yang agak kuat. Mukanya pucat apabila memandang ke arah pintu.

   Lelaki itu sudah kembali!

   Lembaga itu dengan pantas mengambil salah satu daripada tabung uji yang tersusun itu lalu berlari ke arah pintu balai.

   Lelaki itu pula cuba menerkam seperti harimau ke arah lembaga itu. Lembaga itu bergerak ke tepi, menghampiri tiang berhampiran pintu sebelum meukar arah larian dengan pantas. Terkaman lelaki itu tidak mengenainya, sebaliknya tubuh lelaki itu berlaga dengan tiang itu.

   Lembaga itu berjaya keluar dari balai cerap, menyimpan rabung uji itu ke dalam sakunya lalu berlari dengan pantas ke arah jalan berturap di hadapan balai cerap tersebut. Lelaki itu mengejar dari belakang, membuat bunyi seakan-akan seekor harimau yang sedang marah.

[...]

   "Eh, kalian dengar apa yang saya dengar?" kata Alya.

   "Tidak. Dengar apa?" tanya Huda yang duduk di sebelahnya.

   "Macam... Macam bunyi harimau..." gumam Alya perlahan.

   Suasana sepi dan seram menyelubungi mereka.

   "Mana datangnya harimau tengah-tengah kampus ini?" Soal Yvonne di kerusi belakang, memecahkan kesunyian.

   "Betul juga. Imaginasi saya sahaja agaknya," balas Alya sambil menaikkan volume radio keretanya.

[...]

   Lembaga itu terus melintasi jalan itu sebelum bersembunyi di belukar berhampiran. Lelaki itu tercari-cari di mana lembaga itu menghilang. Niatnya mahu mengambil semula tabung uji yang diambilnya, seterusnya 'mendiamkan mulut' lembaga itu agar rahsianya tidak bocor.

   Di saat dia berlari ke tengah jalan, dia dirempuh sesuatu yang besar. Tubuhnya terpelanting ke hadapan. Dia terus pengsan kesan daripada pelanggaran itu. Benda yang merempuhnya juga berhenti bergerak.

[...]

   "Apa itu?" kata Khai, masih terkejut. Dia yakin dia terlanggar sesuatu.

   "Pergilah tengok," kata Fizi.

   "Aku takut..." Khai menggumam perlahan. Peluh sejuk mula memercik.

   "Kamu takut, saya lagi takut," gumam Fizi pula, tubuhnya mula menggeletar.

   Aizu hanya menggeleng lemah. "Apa kata kita bertiga keluar bersama-sama?"

   Khai dan Fizi saling berpandangan sebelum mengangguk setuju.

   Mereka bertiga keluar dari kereta. Kebetulan pula kereta Alya berhenti di belakang mereka. Alya, Huda dan Yvonne keluar dari kereta Alya, wajah mereka terukir riak keliru.

   "Mengapa pula tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan ini? Sudahlah jalan ini gelap," kata Yvonne.

   Fizi menunding ke arah benda berkelubung kain yang dilanggar Khai tadi. Huda menghampiri, diikuti Yvonne. Alya menekup mulut, terkejut.

    "Eh, oranglah!" kata Huda terkejut apabila menyelak hud jubah yang menutupinya. Aizu pula menghampiri, cuba mengesan nafas dan nadi serta kecederaan pada orang itu.

   "Dia hidup lagilah. Cuma pengsan sahaja," kata Aizu. "Pelik, tiada pula kesan cedera pada badannya," sambungnya lagi sambil menggaru kepala.

   "Habis, apa yang perlu kita buat?" soal Khai yang masih panik.

   "Siapa langgar siapa sebenarnya ini?" soal Alya. Aizu dan Fizi dengan pantas menunding jari ke arah Khai dengan riak muka seolah-olah mengatakan, 'dia yang buat'. Khai tersentak, paniknya hilang.

   "Hei, salahkan aku pula, mentang-mentanglah aku yang bawa kereta," Khai membela diri. "Dia yang tiba-tiba muncul di tengah jalan tadi, tidak sempat aku mahu elak."

   "Kita lapor pada pengawal keselamatan?" cadang Yvonne.

   "Ataupun kita bawa dia pergi hospital," Huda pula memberi pendapat.

   Fizi melihat jam tangannya. "Eh tinggal lima minit lagilah sebelum tengah malam!" katanya.

   Aizu memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu apabila Khai dengan tiba-tiba berkata, "Kita letak di tepi jalan sahajalah. Tentu ada pengawal keselamatan yang akan lalu di sini, bukan?"

   Semua mata memandang ke arah Khai.

   "Apa?" Khai merasakan elemen deja vu berlaku.

[...]

   "Hei, nantilah dulu. Cepat benar mahu balik," kata Aizu.

   Mereka sampai di pintu pagar belakang Kediaman Bersatu Jaya tepat pada tengah malam. Hampir juga mereka diberi ceramah oleh pengawal keselamatan yang menjaga pintu itu. Sampai sahaja di tempat letak kenderaan asrama tersebut, mereka (kecuali Aizu) seolah-olah mahu cepat-cepat kembali ke bilik.

   Lelaki berkelubung yang pengsan itu pula dialihkan ke tepi jalan sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Khai.

   "Apa, mahu balik ke bilik pun salahkah?" kata Khai.

   "Alahai, tunggulah dulu. Ada perkara yang saya mahu katakan," ujar Aizu.

   Mereka tidak jadi kembali ke bilik, sebaliknya berkumpul di sebelah kereta Khai.

   "Baiklah," Aizu menarik nafas panjang. "Disebabkan kita ada buat salah besar dengan meninggalkan orang yang teraniaya secara tidak sengaja di tepi jalan untuk memenuhi kepentingan diri," Aizu memandang ke arah Khai yang masih kelihatan resah, "kita juga kena berjanji bahawa rahsia ini kita kena simpan elok-elok. Tiada sesiapa boleh tahu berkenaan perkara ini kecuali kita berenam. Faham?"

   Yamg lain mengangguk, memahami dan menyetujui.

   "Baik, semua boleh bersurai," kata Aizu, perlahan.

   Mereka terus bergerak pulang ke bilik masing-masing. Fizi menyedari tingkah laku Khai yang masih tidak berubah sejak tadi. Dia nampaknya benar-benar rasa bersalah atas peristiwa tadi. Fizi hanya menepuk bahu Khai, cuba menenangkan perasaannya yang bercelaru itu.

   Mereka semua cuba meyakinkan diri mereka sendiri bahawa tiada apa yang akan berlaku pada masa hadapan, dan tiada sesiapa yang tahu apa yang mereka telah lakukan.

   Benarkah apa yang mereka percaya itu?



Novellet: Saya Tahu Apa Kamu Buat Pada Semester Lalu (Bab 1)

Hari ini 1 Disember 2011. (Cepat betul masa berlalu...) smilies/icon_sweatdrop.gif
Maka dengan ini saya cuba menulis satu kisah bersiri yang mungkin menarik, mungkin tidak bagi kalian. Namun saya tetap cuba. Mahu asah skil penglipur lara yang sudah bertahun lama ditinggalkan.
Harap kalian semua terhibur dengan karya picisan daripada saya ini. smilies/icon_3nodding.gif

[...]

BAB 1

   Pagi itu cerah seperti hari-hari sebelumnya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kedengaran bunyi hon kenderaan yang bersesak-sesak keluar masuk di jalan besar berhadapan Kediaman Bersatu Jaya, salah satu asrama di Kolej Sains dan Teknologi. (Kolej Sains dan Teknologi mempunyai dua asrama, Kediaman Bersatu Jaya yang terletak di luar kampus dan Kediaman Semarak Api yang ditempatkan di dalam kampus)

   Di sebuah bilik di tingkat lima bangunan asrama lelaki Kediaman Bersatu Jaya, seorang remaja lelaki terpisat-pisat bangun dari tidurnya selepas beberapa kali penggera pada jam locengnya berbunyi. Dia melihat waktu yang terpapar di skrin jam locengnya itu.

   "Hah! 8.30 pagi? Habislah aku! Sudahlah giliran aku untuk pembentangan Latihan Industri pagi ini!"

   Dengan sepantas kilat dia bangun dari katil, mengambil tuala yang tersidai di hujung katilnya lalu berlari ke arah bilik mandi yang terletak beberapa langkah dari katilnya. Sepuluh minit kemudian, dia sudah siap berpakaian formal lalu mengambil beg sandang berisi komputer riba dan laporan perbentangan yang sudah disiapkan malam semalam, keluar daripada bilik dan mengunci pintu, lalu berlari ke arah lif berhampiran.

[...]

   Sementara itu, di sebuah gazebo berhadapan Studio Alam Bina, dua pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan sedang resah menunggu giliran untuk membuat perbentangan di studio itu.

   "Fizi di mana ya? Sebentar lagi giliran dia pula," soal Alya risau. "Kamu tidak jumpa dia langsung di asramakah, Aizu, Khai?"

   "Entahlah. Malam tadi ada nampak dia pergi ke koperasi, katanya mahu print laporan LI," balas remaja lelaki yang dipanggil Aizu itu.

   "Malam tadi baru mahu print laporan? Saya tidak pelik kalau dia masih tidur di biliknya sekarang ini," ujar seorang  perempuan berpakaian serba hitam yang baru sahaja sampai dan duduk di bangku gazebo itu.

   Semua mata memandang ke arah perempuan itu, terkejut. Bila masa dia muncul?

   "Laily! Bila awak sampai? Rindunya saya pada awak!" teriak Alya, terus memeluk pelajar berpakaian hitam itu. Pelajar itu mula berasa kurang selesa dengan tindakan Alya itu. Alya yang sedar akan reaksi Laily terus melepaskan pelukannya itu sambil tersengih-sengih.

   "Yalah. Lagipun bukankah giliran kamu lambat lagi?" soal seorang lagi pelajar lelaki yang berdiri di sebelah Aizu.

   "Maknanya saya hanya dibenarkan berada di sini lima minit sebelum giliran sayalah ya, Encik Khairul?" soal Laily kembali dengan nada sinis. Khai tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal apabila mendengar kata-kata Laily itu.

   "Lama juga Dollah di dalam studio itu ya. Agaknya ada apa-apa masalahkah?" kata Huda sambil melihat ke arah jam tangannya. Sudah hampir 15 minit berlalu sejak Dollah, orang pertama yang membentangkan laporan, masuk ke dalam studio.

   "Okeylah itu. Fizi pun belum sampai. Cuba sesiapa telefon dia. Nahas juga kalau dia masih belum sampai selepas Dollah keluar," kata Yvonne, pelajar kacukan Cina-India, yang melabuhkan punggungnya di sebelah Laily. Dia sudah penat berdiri menunggu Dollah keluar. Mahu tahu juga mengapa rakan sekuliahnya itu mengambil masa yang agak lama untuk perbentangan, walaupun sudah ditetapkan seorang pelajar diberi masa 5 minit sahaja.

   "Kamulah telefon. Saya tiada kredit," kata Khai.

   "Saya tidak ada nombor telefon dialah," balas Yvonne.

   "Tidak perlu..." satu suara kedengaran dari tempat letak kenderaan bersebelahan gazebo tersebut. Kelihatan seorang pelajar lelaki yang termengah-mengah berjalan lambat-lambat ke arah mereka.

   "Kenapa dengan kamu? Basah kuyup, tercungap-cungap lagi. Macam dikejar anjing saja," kata Aizu yang kehairanan.

   "Memang kena kejar dengan anjing pun," balas Fizi setelah membetulkan nafas. Dia mengambil tempat di gazebo untuk menghilangkan lelah. "Jalan pintas di menara cerap kolej itukan banyak anjing liar. Sudahlah tunggang basikal sahaja untuk ke sini."

   Khai ketawa perlahan. Aizu menyiku perlahan lengan Khai supaya menghentikan tawanya. Fizi pula hanya mampu menahan geram apabila melihat reaksi Khai itu.

   "Nasib baik kamu sempat sampai. Dollah pun masih belum keluar daripada studio, jadi kamu boleh kemaskan diri kamu sedikit," ujar Yvonne sambil mengeluarkan laporan latihan industrinya, mencari kata kunci untuk memudahkan perbentangannya.

   "Eh, giliran Dollah belum selesai lagi? Saya ingat saya terlalu lambat sampai," kata Fizi, canggung.

   "Belum, mungkin ALLAH membantu kamu agaknya," kata Laily perlahan, tanpa emosi. Dia mengeluarkan sebungkus plastik mengandungi tiga biji karipap dari begnya, lalu menghulurkan sebiji karipap kepada Fizi. "Ambil ini, makan. Kamu tentu belum sarapan," katanya lagi dengan nada dingin. Dia kemudiannya bangun dan berlalu pergi ke arah galeri arkitek di hujung bangunan studio.

   Fizi hanya merenung ke arah karipap yang diberikan Laily tadi. Lama.

   Aizu, Khai, Huda, Alya dan Yvonne pula merenung ke arah Fizi yang matanya masih tertancap pada karipap itu.

   "Dia memang Laily, bukan?" Suara Alya memecah kesunyian.

   "Yalah. Memang dialah itu," kata Huda.

   "Saya selalu sangkakan dia itu jenis manusia yang tidak pedulikan orang lain," kata Aizu pula.

   "Sekurang-kurangnya dia sudah mula berubah kepada menjadi dirinya yang lebih baik," ujar Huda, memilih untuk bersangka baik.

   "Entah entah dia ada simpan perasaan kepada Fizi," kata Khai pula.

   Kali ini semua mata memandang ke arah Khai.

   "Apa?" Khai mula rasa tidak selesa.

[...]

   Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 petang. Orang terakhir membentangkan laporan Latihan Industri baru sahaja keluar dari studio. Pada wajahnya terukir senyuman puas. Mereka semua berkumpul semula di gazebo itu sebelum bergerak bersama-sama ke Kafe Embun, kafe kolej yang paling dekat dengan studio (dan harga makanan yang paling berpatutan dengan rasanya yang enak).

   "Perbentangan LI kita sudah selesai. Nampaknya bolehlah kita berseronok," kata Khai dengan nada gembira. Sebahagian besar daripada mereka mengangguk setuju.

   "Jangan gembira sangat," kata Laily perlahan dan tanpa emosi, namun mampu didengari mereka. "Kita masih ada sebulan lagi praktikal sebelum dapat bercuti selama dua bulan, sebelum menghadapi semester akhir."

   "Kamu suka rosakkan keseronokan orang lain, bukan begitu, Laily?" Khai menggumam perlahan.

   "Saya cuma katakan perkara yang benar. Salahkah?" Laily membalas, kali ini Khai seorang sahaja yang mendengar suaranya yang sinis itu.

   Khai hanya bungkam.

[...]

   "Mahu pergi ke I-City malam nanti?" soal Aizu yang baru sahaja menghabiskan makan tengah harinya.

   "Hm. Boleh juga. Lagipun saya sudah mohon cuti seminggu untuk perbentangan ini," balas Alya.

   Aizu, Fizi, Khai, Alya, Huda, Laily dan Yvonne makan semeja di kafeteria. Laily seperti biasa duduk jauh sedikit daripada mereka walaupun makan bersama.

   "Okey juga. Esok dan lusa saya cuti. Bolehlah saya sertai kalian!" kata Khai, seronok.

   "Cuti saya juga habis lusa. Saya tidak kisah mahu turut serta," kata Yvonne.

   "Huda, Laily, Fizi, tidak mahu sertai kami?" Aizu mengalihkan pandangan ke arah mereka yang namanya disebutkan tadi.

   "Saya tidak kisah, walaupun cuti saya sampai esok sahaja," Huda berkata perlahan.

   "Saya pun," kata Fizi pula.

   "Maaf, saya tidak dapat sertai kalian. Cuti saya sampai hari ini sahaja. Esok sudah mula kerja semula," Laily berkata perlahan.

   "Alah, tidak seronoklah kalau Laily tiada," gumam Alya, hampa.

   "Yalah. Apa kata awak beli cuti sakit. Saya tahu satu klinik yang tawarkan surat cuti sakit pada harga RM15," kata Khai pula.

   "Itu sudah dikira tidak beretika. ALLAH akan tahu saya menipu walaupun majikan tempat LI saya tidak tahu," balas Laily sinis sambil memandang tajam ke arah Khai. Muka Khai mula kemerahan, dia berasa rimas dengan renungan Laily itu. Yang lain ketawa perlahan melihat 'drama' di hadapan mereka.

   "Padan muka kena sindir dengan Laily," kata Huda sambil tersengih. "Ada betulnya apa yang dia cakap itu. Khai, kamu selalu ponteng kerja ya, sampai tahu klinik mana yang jual surat cuti sakit ini?"

   "Eh, tidaklah! Saya kata pun sebab kerani firma tempat saya praktikal yang beritahu saya," ujar Khai acuh tidak acuh.

   "Baiklah," kata Aizu, memulakan bicara selepas tamat 'drama' tadi. "Jadi kecuali Laily, enam orang sahajalah yang dapat sertai nampaknya. Kita konvoi dua kereta. Alya ada kereta, bukan?" Aizu memandang ke arah Alya yang sedang mengangguk.

   "Okey. Selepas maghrib, kita berkumpul di foyer Asrama Puteri Kediaman Bersatu Jaya. Laily, tidak mengapakah?" Aizu memandang ke arah Laily pula.

   "Tidak mengapa. Pergi sahajalah. Harap kamu semua berseronok dan jangan pula sampai terpaksa 'terbang' untuk masuk semula ke hostel, ya," balas Laily dingin, sambil tersenyum. Aizu tergelak mendengar jawapan Laily.

   "Jangan risau, kami takkan 'terbang'," Aizu berkata dengan yakin. "Kami tahu dan akan tetap patuh dengan peraturan asrama. 12.00 malam paling lewat, bukan?" Yang lain mengangguk, menyetujui kata-kata Aizu.

   Laily hanya tersenyum sepi melihat keletah rakan-rakannya itu.


Rabu, 23 November 2011

Tutor4Real: Panduan mewarnakan karya dalam Paint.NET

PERINGATAN: Tutorial ini pada dasarnya dibuat sebagai rujukan pemilik blog pada masa hadapan. Namun, pembaca boleh sahaja menggunakan tutorial ini.  Harap maaf kalau entri ini kurang difahami pembaca sekalian. smilies/icon_wink.gif

Apakah itu Paint.NET?
Paint.NET adalah program perisian pengeditan gambar yang menyerupai Adobe Photoshop, namun diedarkan secara percuma di alam maya. Muat turun di sini.emotion_smilies/icon_kirakira.gif

Setakat ini belum ada lagi tutorial berkenaan mewarnakan karya secara digital melalui perisian ini (Maaflah kalau ada, mungkin saya terlepas pandang). Saya juga mula berjinak-jinak dengan perisian ini sekitar awal bulan lepas. Jadi maaflah jika hasil kerja agak 'tidak semenggah'. smilies/icon_neutral.gif

[...]

Baik, mari kita mulakan tutorial ini.
(Gambar yang digunakan adalah lukisan 'GaiaVatar BlackWhiteGirl1-Cat') 

Saya masih melukis secara manual di atas kertas, maka untuk merwarnakannya, saya perlu imbaskan ke dalam komputer. Seperti kebanyakan orang sedia maklum, lineart akan menjadi pudar setelah diimbas, seperti di bawah.

Maka; untuk menggelapkannya kita perlu selaraskan brightness/contrast gambar tersebut.


Oh ya, kebiasaannya saya setkan larasan kepada -75/75.

Hasilnya: 
Perhatikan, warna lineart sudah menjadi lebih gelap daripada asal.smilies/icon_3nodding.gif

[...]

Sekarang, selepas melaraskan gambar, layer akan 'diletakkan' pada gambar. Layer ini berfungsi melindungi gambar asal daripada 'cacat' disebabkan perwarnaan terus ke atas karya.

Bagaimana mahu letakkan layer?


Pertama, pilih opsyen 'Add New Layer' pada tab Layer. Sebuah layer baru akan muncul secara automatik di dalam panel Layer, di atas kerja asal (background)

Kedua, buka 'Layer Properties' bagi layer tersebut. Terdapat dua cara untuk mengaksesnya;
  1) Klik 'Properties' pada panel 'Layer' (dalam petak merah).

  2)  Melalui tab Layer, pilih opsyen bawah sekali.
       (Pastikan layer yang hendak ditukar cirinya sudah dipilih terlebih dahulu.)


Ketiga, selepas mengakses 'Layer Properties', di ruang Blending, setkan kepada mod 'Multiply'.


Oh ya, mengapa perlu setkan kepada multiply?

Oops! Terlebih warna pula.
Perasankah yang garisan asal di kawasan 'terlajak' tidak ditutupi langsung dengan warna tersebut?

Baik, kita padamkan kawasan yang terlajak warna tadi. 
Perhatikan, walaupun kawasan yang berlebihan dipadam, pemadaman warna tidak meninggalkan kesan terhadap lineart.

[...]

Baiklah. Selesai mengeset layer, kerja mewarna boleh dimulakan. Pastikan setiap satu layer hanya guna satu atau dua warna sahaja, takut tercampur pula. Jangan lupa setkan kesemua layer tersebut kepada mod 'multiply' seperti yang ditunjukkan sebelum ini.

Mulakan dengan warna asas.





Selesai meletakkan warna asas, kerja touch-up boleh dimulakan. 
Seperti awalnya, gunakan layer baru untuk setiap warna berbeza.






Jangan risau, komputer tidak akan 'hang' walaupun guna layer banyak sangat. smilies/icon_biggrin.gif

[...]

Baiklah, kerja touch-up juga sudah selesai. Namun tidak bolehlah save sebegini, nanti ia disimpan dalam komputer sebagai '.pdn' (konsep serupa dengan '.psd' bagi Adobe Photoshop). Komputer tidak boleh baca pula. Mahu muat naik di internet pun tidak boleh.

Oleh itu, layer-layer tadi perlu disatukan (merge) sehinggalah menjadi satu gambar. Jangan risau, penyatuan layer tidak akan menjejaskan kualiti lineart.

Untuk menyatukan layer-layer itu, klik opsyen 'Merge Layer Down' pada panel Layer.

Opsyen ini akan menyebabkan layer yang dipilih akan disatukan dengan satu layer yang berada di bawahnya. Oleh itu, teruskan kerja 'layer merging' sehingga menjadi begini.


[...]


Selesai menyatukan kesemua layer menjadi satu, barulah boleh disimpan. (saya menyimpannya sebagai '.jpg', memang saya setkan begini. Namun boleh sahaja disimpan sebagai '.gif' atau '.png'. Terpeluang mahu yang mana satu)


Baiklah, nampaknya selesailah tutorial kita untuk hari ini.

[...]

Jika ada yang tidak faham berkenaan tutorial ini, boleh tanya saya.
Jika saya boleh jawab, saya akan jawab; jika saya tidak boleh jawab, aaaaa.....
(lari menyembunyikan diri) smilies/icon_xd.gif