Maka dengan ini saya cuba menulis satu kisah bersiri yang mungkin menarik, mungkin tidak bagi kalian. Namun saya tetap cuba. Mahu asah skil penglipur lara yang sudah bertahun lama ditinggalkan.
Harap kalian semua terhibur dengan karya picisan daripada saya ini.
[...]
BAB 1
Pagi itu cerah seperti hari-hari sebelumnya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kedengaran bunyi hon kenderaan yang bersesak-sesak keluar masuk di jalan besar berhadapan Kediaman Bersatu Jaya, salah satu asrama di Kolej Sains dan Teknologi. (Kolej Sains dan Teknologi mempunyai dua asrama, Kediaman Bersatu Jaya yang terletak di luar kampus dan Kediaman Semarak Api yang ditempatkan di dalam kampus)
Di sebuah bilik di tingkat lima bangunan asrama lelaki Kediaman Bersatu Jaya, seorang remaja lelaki terpisat-pisat bangun dari tidurnya selepas beberapa kali penggera pada jam locengnya berbunyi. Dia melihat waktu yang terpapar di skrin jam locengnya itu.
"Hah! 8.30 pagi? Habislah aku! Sudahlah giliran aku untuk pembentangan Latihan Industri pagi ini!"
Dengan sepantas kilat dia bangun dari katil, mengambil tuala yang tersidai di hujung katilnya lalu berlari ke arah bilik mandi yang terletak beberapa langkah dari katilnya. Sepuluh minit kemudian, dia sudah siap berpakaian formal lalu mengambil beg sandang berisi komputer riba dan laporan perbentangan yang sudah disiapkan malam semalam, keluar daripada bilik dan mengunci pintu, lalu berlari ke arah lif berhampiran.
[...]
Sementara itu, di sebuah gazebo berhadapan Studio Alam Bina, dua pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan sedang resah menunggu giliran untuk membuat perbentangan di studio itu.
"Fizi di mana ya? Sebentar lagi giliran dia pula," soal Alya risau. "Kamu tidak jumpa dia langsung di asramakah, Aizu, Khai?"
"Entahlah. Malam tadi ada nampak dia pergi ke koperasi, katanya mahu print laporan LI," balas remaja lelaki yang dipanggil Aizu itu.
"Malam tadi baru mahu print laporan? Saya tidak pelik kalau dia masih tidur di biliknya sekarang ini," ujar seorang perempuan berpakaian serba hitam yang baru sahaja sampai dan duduk di bangku gazebo itu.
Semua mata memandang ke arah perempuan itu, terkejut. Bila masa dia muncul?
"Laily! Bila awak sampai? Rindunya saya pada awak!" teriak Alya, terus memeluk pelajar berpakaian hitam itu. Pelajar itu mula berasa kurang selesa dengan tindakan Alya itu. Alya yang sedar akan reaksi Laily terus melepaskan pelukannya itu sambil tersengih-sengih.
"Yalah. Lagipun bukankah giliran kamu lambat lagi?" soal seorang lagi pelajar lelaki yang berdiri di sebelah Aizu.
"Maknanya saya hanya dibenarkan berada di sini lima minit sebelum giliran sayalah ya, Encik Khairul?" soal Laily kembali dengan nada sinis. Khai tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal apabila mendengar kata-kata Laily itu.
"Lama juga Dollah di dalam studio itu ya. Agaknya ada apa-apa masalahkah?" kata Huda sambil melihat ke arah jam tangannya. Sudah hampir 15 minit berlalu sejak Dollah, orang pertama yang membentangkan laporan, masuk ke dalam studio.
"Okeylah itu. Fizi pun belum sampai. Cuba sesiapa telefon dia. Nahas juga kalau dia masih belum sampai selepas Dollah keluar," kata Yvonne, pelajar kacukan Cina-India, yang melabuhkan punggungnya di sebelah Laily. Dia sudah penat berdiri menunggu Dollah keluar. Mahu tahu juga mengapa rakan sekuliahnya itu mengambil masa yang agak lama untuk perbentangan, walaupun sudah ditetapkan seorang pelajar diberi masa 5 minit sahaja.
"Kamulah telefon. Saya tiada kredit," kata Khai.
"Saya tidak ada nombor telefon dialah," balas Yvonne.
"Tidak perlu..." satu suara kedengaran dari tempat letak kenderaan bersebelahan gazebo tersebut. Kelihatan seorang pelajar lelaki yang termengah-mengah berjalan lambat-lambat ke arah mereka.
"Kenapa dengan kamu? Basah kuyup, tercungap-cungap lagi. Macam dikejar anjing saja," kata Aizu yang kehairanan.
"Memang kena kejar dengan anjing pun," balas Fizi setelah membetulkan nafas. Dia mengambil tempat di gazebo untuk menghilangkan lelah. "Jalan pintas di menara cerap kolej itukan banyak anjing liar. Sudahlah tunggang basikal sahaja untuk ke sini."
Khai ketawa perlahan. Aizu menyiku perlahan lengan Khai supaya menghentikan tawanya. Fizi pula hanya mampu menahan geram apabila melihat reaksi Khai itu.
"Nasib baik kamu sempat sampai. Dollah pun masih belum keluar daripada studio, jadi kamu boleh kemaskan diri kamu sedikit," ujar Yvonne sambil mengeluarkan laporan latihan industrinya, mencari kata kunci untuk memudahkan perbentangannya.
"Eh, giliran Dollah belum selesai lagi? Saya ingat saya terlalu lambat sampai," kata Fizi, canggung.
"Belum, mungkin ALLAH membantu kamu agaknya," kata Laily perlahan, tanpa emosi. Dia mengeluarkan sebungkus plastik mengandungi tiga biji karipap dari begnya, lalu menghulurkan sebiji karipap kepada Fizi. "Ambil ini, makan. Kamu tentu belum sarapan," katanya lagi dengan nada dingin. Dia kemudiannya bangun dan berlalu pergi ke arah galeri arkitek di hujung bangunan studio.
Fizi hanya merenung ke arah karipap yang diberikan Laily tadi. Lama.
Aizu, Khai, Huda, Alya dan Yvonne pula merenung ke arah Fizi yang matanya masih tertancap pada karipap itu.
"Dia memang Laily, bukan?" Suara Alya memecah kesunyian.
"Yalah. Memang dialah itu," kata Huda.
"Saya selalu sangkakan dia itu jenis manusia yang tidak pedulikan orang lain," kata Aizu pula.
"Sekurang-kurangnya dia sudah mula berubah kepada menjadi dirinya yang lebih baik," ujar Huda, memilih untuk bersangka baik.
"Entah entah dia ada simpan perasaan kepada Fizi," kata Khai pula.
Kali ini semua mata memandang ke arah Khai.
"Apa?" Khai mula rasa tidak selesa.
[...]
Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 petang. Orang terakhir membentangkan laporan Latihan Industri baru sahaja keluar dari studio. Pada wajahnya terukir senyuman puas. Mereka semua berkumpul semula di gazebo itu sebelum bergerak bersama-sama ke Kafe Embun, kafe kolej yang paling dekat dengan studio (dan harga makanan yang paling berpatutan dengan rasanya yang enak).
"Perbentangan LI kita sudah selesai. Nampaknya bolehlah kita berseronok," kata Khai dengan nada gembira. Sebahagian besar daripada mereka mengangguk setuju.
"Jangan gembira sangat," kata Laily perlahan dan tanpa emosi, namun mampu didengari mereka. "Kita masih ada sebulan lagi praktikal sebelum dapat bercuti selama dua bulan, sebelum menghadapi semester akhir."
"Kamu suka rosakkan keseronokan orang lain, bukan begitu, Laily?" Khai menggumam perlahan.
"Saya cuma katakan perkara yang benar. Salahkah?" Laily membalas, kali ini Khai seorang sahaja yang mendengar suaranya yang sinis itu.
Khai hanya bungkam.
[...]
"Mahu pergi ke I-City malam nanti?" soal Aizu yang baru sahaja menghabiskan makan tengah harinya.
"Hm. Boleh juga. Lagipun saya sudah mohon cuti seminggu untuk perbentangan ini," balas Alya.
Aizu, Fizi, Khai, Alya, Huda, Laily dan Yvonne makan semeja di kafeteria. Laily seperti biasa duduk jauh sedikit daripada mereka walaupun makan bersama.
"Okey juga. Esok dan lusa saya cuti. Bolehlah saya sertai kalian!" kata Khai, seronok.
"Cuti saya juga habis lusa. Saya tidak kisah mahu turut serta," kata Yvonne.
"Huda, Laily, Fizi, tidak mahu sertai kami?" Aizu mengalihkan pandangan ke arah mereka yang namanya disebutkan tadi.
"Saya tidak kisah, walaupun cuti saya sampai esok sahaja," Huda berkata perlahan.
"Saya pun," kata Fizi pula.
"Maaf, saya tidak dapat sertai kalian. Cuti saya sampai hari ini sahaja. Esok sudah mula kerja semula," Laily berkata perlahan.
"Alah, tidak seronoklah kalau Laily tiada," gumam Alya, hampa.
"Yalah. Apa kata awak beli cuti sakit. Saya tahu satu klinik yang tawarkan surat cuti sakit pada harga RM15," kata Khai pula.
"Itu sudah dikira tidak beretika. ALLAH akan tahu saya menipu walaupun majikan tempat LI saya tidak tahu," balas Laily sinis sambil memandang tajam ke arah Khai. Muka Khai mula kemerahan, dia berasa rimas dengan renungan Laily itu. Yang lain ketawa perlahan melihat 'drama' di hadapan mereka.
"Padan muka kena sindir dengan Laily," kata Huda sambil tersengih. "Ada betulnya apa yang dia cakap itu. Khai, kamu selalu ponteng kerja ya, sampai tahu klinik mana yang jual surat cuti sakit ini?"
"Eh, tidaklah! Saya kata pun sebab kerani firma tempat saya praktikal yang beritahu saya," ujar Khai acuh tidak acuh.
"Baiklah," kata Aizu, memulakan bicara selepas tamat 'drama' tadi. "Jadi kecuali Laily, enam orang sahajalah yang dapat sertai nampaknya. Kita konvoi dua kereta. Alya ada kereta, bukan?" Aizu memandang ke arah Alya yang sedang mengangguk.
"Okey. Selepas maghrib, kita berkumpul di foyer Asrama Puteri Kediaman Bersatu Jaya. Laily, tidak mengapakah?" Aizu memandang ke arah Laily pula.
"Tidak mengapa. Pergi sahajalah. Harap kamu semua berseronok dan jangan pula sampai terpaksa 'terbang' untuk masuk semula ke hostel, ya," balas Laily dingin, sambil tersenyum. Aizu tergelak mendengar jawapan Laily.
"Jangan risau, kami takkan 'terbang'," Aizu berkata dengan yakin. "Kami tahu dan akan tetap patuh dengan peraturan asrama. 12.00 malam paling lewat, bukan?" Yang lain mengangguk, menyetujui kata-kata Aizu.
Laily hanya tersenyum sepi melihat keletah rakan-rakannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan