Khamis, 1 Disember 2011

Novellet: Saya Tahu Apa Kamu Buat Pada Semester Lalu (Bab 2)

Semalam bab 1. Jadi hari ini sambung bab 2 pulalah ya? smilies/icon_whee.gif
Lupa mahu beritahu, sebenarnya saya sedang cabar diri sendiri untuk mengarang sebuah kisah yang mempunyai paling kurang 50,000 patah perkataan, dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. smilies/icon_3nodding.gif
Agak-agak bolehkah saya lakukannya? smilies/icon_confused.gif

[...]

BAB 2

   Malam itu agak sepi jika dibandingkan dengan malam-malam sebelumnya. Tiada bunyi unggas bersahut-sahutan seperti biasa. Suasana di bukit di mana menara cerap kolej yang sudah terbiar itu berada mampu menimbulkan rasa seram kepada sesiapa sahaja yang melaluinya.

   Satu lembaga berjalan terhendap-hendap ke arah menara cerap itu. Dia seolah-olah tidak mahu penghuni alam menyedari kehadirannya di situ. Pandangan lembaga itu terarah ke balai di bawah menara tersebut, ada cahaya yang malap muncul dari tingkap. Kelihatan juga bayang susuk seorang lelaki berjubah dan berhud bergerak-gerak, mundar-mandir di dalam menara tersebut.

   Seketika kemudian lelaki itu keluar dari menara cerap. Lembaga itu menunggu beberapa minit untuk memastikan keadaan selamat, sebelum terus berlari masuk ke dalam menara tersebut.

[...]

   "Tengok. Sudah pukul berapa ini?" kata Fizi sambil melihat ke arah jam tangannya. "Lagi sepuluh minit dan kita tidak dibenarkan masuk ke asrama."

   "Jangan risaulah, Fizi. Aku berani jamin yang kita akan sampai tepat 12 malam," kata Khai yang sedang memandu kereta Myvinya.

   " Kenapa yakin sangat? Kita baru sampai di belakang kampus. Dari sini ke hostel ambil masa 15 minit," soal Fizi kembali, risau.

   "Apa mahu dirisaukan. Kita ikutlah jalan pintas depan menara cerap itu. Ambil masa 5 minit sahaja kalau ikut laluan itu. Kamu pun tahu, bukan?" balas Khai dengan nada selamba. Fizi mengeluh perlahan.

   "Ikut jalan pintas? Saya beritahu Alyalah ya. Takut nanti mereka ikut jalan biasa pula," kata Aizu, mula mendail nombor telefon bimbit Alya yang memandu kereta kancil di belakang kereta mereka.

   Kereta yang dipandu Khai terus masuk ke sebuah jalan kecil di hujung kolej, diikuti perlahan oleh kereta Alya. Jalan itu terus membawa mereka ke melalui kawasan menara cerap yang dipenuhi belukar, melalui tasik di kaki bukit tersebut sebelum berakhir di pintu pagar belakang Kediaman Bersatu Jaya.

[...]

   Lembaga itu memandang ke seluruh ruang dalam balai tersebut. Ada sebuah meja  besar yang dipenuhi pelbagai radas makmal, kelalang mengandungi cecair beraneka warna dan beberapa tabung uji yang ditutupi gabus tersusun di raknya. Ada juga beberapa helai kertas dan komputer riba yang masih terpasang. Bekalan elektrik di menara itu nampaknya masih tidak terjejas.

   Dia berjalan ke arah kertas-kertas di atas meja itu sebelum meneliti satu persatu. Wajahnya kelihatan risau selepas membaca apa yang tertulis di atas kertas-kertas tersebut. Dia kemudiannya pergi ke arah rak tabung uji apabila mendengar bunyi dengusan yang agak kuat. Mukanya pucat apabila memandang ke arah pintu.

   Lelaki itu sudah kembali!

   Lembaga itu dengan pantas mengambil salah satu daripada tabung uji yang tersusun itu lalu berlari ke arah pintu balai.

   Lelaki itu pula cuba menerkam seperti harimau ke arah lembaga itu. Lembaga itu bergerak ke tepi, menghampiri tiang berhampiran pintu sebelum meukar arah larian dengan pantas. Terkaman lelaki itu tidak mengenainya, sebaliknya tubuh lelaki itu berlaga dengan tiang itu.

   Lembaga itu berjaya keluar dari balai cerap, menyimpan rabung uji itu ke dalam sakunya lalu berlari dengan pantas ke arah jalan berturap di hadapan balai cerap tersebut. Lelaki itu mengejar dari belakang, membuat bunyi seakan-akan seekor harimau yang sedang marah.

[...]

   "Eh, kalian dengar apa yang saya dengar?" kata Alya.

   "Tidak. Dengar apa?" tanya Huda yang duduk di sebelahnya.

   "Macam... Macam bunyi harimau..." gumam Alya perlahan.

   Suasana sepi dan seram menyelubungi mereka.

   "Mana datangnya harimau tengah-tengah kampus ini?" Soal Yvonne di kerusi belakang, memecahkan kesunyian.

   "Betul juga. Imaginasi saya sahaja agaknya," balas Alya sambil menaikkan volume radio keretanya.

[...]

   Lembaga itu terus melintasi jalan itu sebelum bersembunyi di belukar berhampiran. Lelaki itu tercari-cari di mana lembaga itu menghilang. Niatnya mahu mengambil semula tabung uji yang diambilnya, seterusnya 'mendiamkan mulut' lembaga itu agar rahsianya tidak bocor.

   Di saat dia berlari ke tengah jalan, dia dirempuh sesuatu yang besar. Tubuhnya terpelanting ke hadapan. Dia terus pengsan kesan daripada pelanggaran itu. Benda yang merempuhnya juga berhenti bergerak.

[...]

   "Apa itu?" kata Khai, masih terkejut. Dia yakin dia terlanggar sesuatu.

   "Pergilah tengok," kata Fizi.

   "Aku takut..." Khai menggumam perlahan. Peluh sejuk mula memercik.

   "Kamu takut, saya lagi takut," gumam Fizi pula, tubuhnya mula menggeletar.

   Aizu hanya menggeleng lemah. "Apa kata kita bertiga keluar bersama-sama?"

   Khai dan Fizi saling berpandangan sebelum mengangguk setuju.

   Mereka bertiga keluar dari kereta. Kebetulan pula kereta Alya berhenti di belakang mereka. Alya, Huda dan Yvonne keluar dari kereta Alya, wajah mereka terukir riak keliru.

   "Mengapa pula tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan ini? Sudahlah jalan ini gelap," kata Yvonne.

   Fizi menunding ke arah benda berkelubung kain yang dilanggar Khai tadi. Huda menghampiri, diikuti Yvonne. Alya menekup mulut, terkejut.

    "Eh, oranglah!" kata Huda terkejut apabila menyelak hud jubah yang menutupinya. Aizu pula menghampiri, cuba mengesan nafas dan nadi serta kecederaan pada orang itu.

   "Dia hidup lagilah. Cuma pengsan sahaja," kata Aizu. "Pelik, tiada pula kesan cedera pada badannya," sambungnya lagi sambil menggaru kepala.

   "Habis, apa yang perlu kita buat?" soal Khai yang masih panik.

   "Siapa langgar siapa sebenarnya ini?" soal Alya. Aizu dan Fizi dengan pantas menunding jari ke arah Khai dengan riak muka seolah-olah mengatakan, 'dia yang buat'. Khai tersentak, paniknya hilang.

   "Hei, salahkan aku pula, mentang-mentanglah aku yang bawa kereta," Khai membela diri. "Dia yang tiba-tiba muncul di tengah jalan tadi, tidak sempat aku mahu elak."

   "Kita lapor pada pengawal keselamatan?" cadang Yvonne.

   "Ataupun kita bawa dia pergi hospital," Huda pula memberi pendapat.

   Fizi melihat jam tangannya. "Eh tinggal lima minit lagilah sebelum tengah malam!" katanya.

   Aizu memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu apabila Khai dengan tiba-tiba berkata, "Kita letak di tepi jalan sahajalah. Tentu ada pengawal keselamatan yang akan lalu di sini, bukan?"

   Semua mata memandang ke arah Khai.

   "Apa?" Khai merasakan elemen deja vu berlaku.

[...]

   "Hei, nantilah dulu. Cepat benar mahu balik," kata Aizu.

   Mereka sampai di pintu pagar belakang Kediaman Bersatu Jaya tepat pada tengah malam. Hampir juga mereka diberi ceramah oleh pengawal keselamatan yang menjaga pintu itu. Sampai sahaja di tempat letak kenderaan asrama tersebut, mereka (kecuali Aizu) seolah-olah mahu cepat-cepat kembali ke bilik.

   Lelaki berkelubung yang pengsan itu pula dialihkan ke tepi jalan sebagaimana yang telah dicadangkan oleh Khai.

   "Apa, mahu balik ke bilik pun salahkah?" kata Khai.

   "Alahai, tunggulah dulu. Ada perkara yang saya mahu katakan," ujar Aizu.

   Mereka tidak jadi kembali ke bilik, sebaliknya berkumpul di sebelah kereta Khai.

   "Baiklah," Aizu menarik nafas panjang. "Disebabkan kita ada buat salah besar dengan meninggalkan orang yang teraniaya secara tidak sengaja di tepi jalan untuk memenuhi kepentingan diri," Aizu memandang ke arah Khai yang masih kelihatan resah, "kita juga kena berjanji bahawa rahsia ini kita kena simpan elok-elok. Tiada sesiapa boleh tahu berkenaan perkara ini kecuali kita berenam. Faham?"

   Yamg lain mengangguk, memahami dan menyetujui.

   "Baik, semua boleh bersurai," kata Aizu, perlahan.

   Mereka terus bergerak pulang ke bilik masing-masing. Fizi menyedari tingkah laku Khai yang masih tidak berubah sejak tadi. Dia nampaknya benar-benar rasa bersalah atas peristiwa tadi. Fizi hanya menepuk bahu Khai, cuba menenangkan perasaannya yang bercelaru itu.

   Mereka semua cuba meyakinkan diri mereka sendiri bahawa tiada apa yang akan berlaku pada masa hadapan, dan tiada sesiapa yang tahu apa yang mereka telah lakukan.

   Benarkah apa yang mereka percaya itu?



Tiada ulasan: